Thursday, June 17, 2010

MEMORIAL UNTUK SIAPA?

Hamba terbaca dalam akhbar Utusan Malaysia di ruang 'Rencana' tulisan Dr Mohd Ridhuan Tee mengenai Memorial. Termenung sejenak apabila Hamba membaca tulisan tersebut.

Setahu Hamba Memorial yang diujudkan oleh Arkib Negara adalah untuk mengenang jasa dan sumbangan Negarawan Utama Negara, iaitu khususnya untuk Bekas Perdana Menteri - Perdana Menteri Malaysia yang telah meninggal dunia, contohnya Memorial Tunku Abdul Rahman Putra; serta juga untuk Memperingati Peristiwa Penting Dalam Sejarah Negara Malaysia, contohnya Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

Untuk Negarawan Utama yang masih hidup, seperti Tun Dr Mahathir, serta tokoh-tokoh terpilih tanahair yang telah meninggal dunia, seperti P.Ramlee; dan Institusi atau Peristiwa tertentu tanahair, seperti Perkhidmatan Awam dan Darurat, Arkib Negara menggunakan perkataan Galeria, Pustaka, Pustaka Peringatan dan Rumah Kelahiran. Dengan itu ujudlah Galeria Perdana ( Tun Dr Mahathir), Pustaka Peringatan P.Ramlee dan Pustaka Perkhidmatan Awam.

Pada asalnya perkataan 'Arkib dan Pustaka' digunakan berasaskan kepada 'Presidential Archives and Library' untuk Presiden-Presiden di USA. Di India dan Filipina, mereka menggunakan 'Memorial' untuk memperingati jasa bekas Perdana Menteri dan Presiden mereka yang telah meninggal dunia.

Untuk negara kita, terdapat perubahan dan penambahbaikan kepada istillah yang telah digunakan. Dengan itu ujudlah istillah-istillah seperti 'Pustaka Peringatan, Pustaka, Memorial, Galeria, Rumah Kelahiran' dsbnya, yang masih digunakan hingga kini.

Yang pastinya sejak dahulu lagi, Arkib Negara telah memutuskan MEMORIAL adalah khusus untuk Bekas Perdana Menteri- Perdana Menteri Malaysia yang telah meninggal dunia sahaja, serta untuk Memperingati Peristiwa Terpenting Tanah Air iaitu Kemerdekaan Tanah Air kita. Sekiranya istillah 'Memorial' telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu, istillah itu bukanlah digunakan dengan persetujuan Arkib Negara.

Hamba mohon maaf kalau tersalah cakap, kerana maklumlah sejak Hamba mula terlibat dalam perancangan dan perlaksanaan untuk mengujudkan Memorial di Arkib Negara, pada tahun 1972 sehinggalah Hamba pencen tahun 2003, mungkin ada yang Hamba terlupa. Hamba pasti Arkib Negara lebih arif untuk menjelaskan dengan lebih tepat lagi mengenai perkara ini.

Dato' Habibah Zon
Mantan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia


(Nota: Artikel ini telah disiar dalam akhbar Utusan Malaysia, ruangan Forum pada Khamis 17hb Jun,2010)


No comments:

Post a Comment