Monday, August 23, 2010

SEJARAH MENGAJAR KITA ERTI KEMERDEKAAN




Tahun ini pada 31 Ogos 2010, genaplah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan untuk memerintah negara sendiri berlandaskan kepada Perlembagaan Negara kita. Kemerdekaan untuk berfikir, bertindak, membuat keputusan, bergerak, bercakap dan banyak lagi.

Kemerdekaan yang dikecapi tidak bermaksud kita boleh melakukan sesuatu mengikut sesuka hati, tanpa batasan, tanpa pemikiran, tetapi kita perlu faham bahawa kita ada Perlembagaan Negara dan Undang-undang yang perlu dipatuhi. Kedaulatan Negara perlu dikekalkan. Adat, budaya dan sopan-santun jangan dilupai. Kita dari negara timur, khususnya Asia Tenggara yang penuh kaya dengan budibicara, ketertiban, hormat menghormati dan sikap bertolak ansur. Biadap dan sombong bukan budaya kita. Ketidakakuran kepada Perlembagaan Negara dan Undang-undang, akan mewujudakan keadaan yang tidak harmoni dan huru-hara serta menjadikan 'kemerdekaan' yang kita kecapi sehingga kini hilang maknanya. Hampa dan luhur perasaan tokoh-tokoh negara kita serta rakyat jelata yang telah berusaha dan berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan Negara kita berpuluh-puluh tahun dahulu.

Hamba teringat, dalam tahun 2002 Hamba pergi ke Johannesburg, Afrika Selatan kerana menghadiri mesyuarat. Negara tersebut baru sahaja mencapai kemerdekaan. Terkejutnya Hamba melihat sebuah Bandaraya yang besar seperti Johannesburg seperti padang jarak padang terkukur. Bangunan-bangunan pencakar langit seperti hotel-hotel, 'shopping complex', pejabat-pejabat telah ditinggalkan kosong tiada berpenghuni. Tidak banyak kereta yang melalui tengah bandar tersebut, kalau adapun berkunci rapat pintu dan tingkap. Yang berjalan kaki semuanya berkulit hitam.

Mengapa keadaanya sedemikian?... Selepas kemerdekaan, rakyatnya tidak patuh dan takut pada undang-undang. Rusuhan, rompakan, pembunuhan, kecurian sering berlaku. Untuk menduduki bangunan yang tersergam tidak lagi selamat. Berjalan kaki juga tidak selamat. Pembunuhan sering berlaku. Pada masa itu hotel, kedai dan pejabat telah banyak berpindah kekawasan perumahan yang lebih selamat. Tinggalah bandar (downtown) Johannesburg kesunyian dengan bangunan-bagunan yang kosong dan rosak. Inilah akibatnya apabila kita tidak faham apa itu kemerdekaan....Bagi Johannesburg memang mengambil masa untuk memperbaiki keadaan. Mungkin kini, dengan adanya Piala Dunia pada tahun ini di Afrika Selatan, kerajaannya telah bertungkus lumus memperbaiki keadaan.

Merenung kembali untuk Negara kita, sanggupkah kita melihat Negara kita menjadi huru hara diatas sikap kita yang tidak mahu memahami apa itu KEMERDEKAAN? Belajarlah dari sejarah... bukan sejarah Negara kita sahaja, tetapi ambillah iktibar dari sejarah yang berlaku di Negara-negara lain.......

BULAN RAMADHAN MUNCUL KEMBALI


Syukur Alhamdulillah, tahun ini (2010) sekali lagi Hamba diberikan keizinan, rezeki dan keinsafan untuk mengerjakan Rukun Islam -'Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan'. 11hb Ogos merupakan hari pertama umat Islam berpuasa.

Seperti tahun-tahun lalu Hamba melaksanakan puasa bersama keluarga - suami dan anak-anak, hanya pada kali ini Hamba melapangkan masa untuk memasak makanan dan juadah untuk berbuka puasa. Walaupun tidak banyak yang disediakan, Hamba berasa puas hati kerana dapat menghidangkan makanan untuk keluarga. Hanya, kadangkala suami dan anak-anak membeli sedikit makanan dan juadah sebagai tambahan. Hamba berdoa supaya diberikan kekuatan dan kesihatan untuk dapat terus menyediakan makanan berbuka puasa dan bersahur untuk keluarga.

Semoga bulan Ramadhan kali ini memberikan nikmat dan keinsafan pada diri kita, InsyaAllah...