Saturday, June 20, 2009

Gagasan Melayu Perak

Hamba baru balik dari Ipoh, Perak petang tadi selepas menghadiri Upacara Perasmian Gagasan Melayu Perak (GMP) oleh Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia, dan Mesyuarat Agung GMP yang Pertama, yang diadakan di Hotel Heritage. Sesuai betul upacara ini diadakan di hotel ini kerana 'Heritage' bermaksud 'Warisan'. Tapi ingat Yeob/ Yong, jangan Melayu hanya tinggal sebagai lambang warisan saja, atau tinggal dalam warisan yang ditulis saja. Kena pastikan , bak kata Hang Tuah, 'Takkan Melayu hilang di dunia'! Bukan saja Melayu tak pupus di Dunia, malahan di Tanah airnya - Tanah Melayu/ Malaysia, malahan di keseluruhan Kepulauan Melayu dan juga Nusantara.

Ucaptama oleh Y.A.Bhg Tun Dr Mahathir membawa ingatan hamba kembali kepada dokumen-dokumen yang tersimpan di Arkib Negara. Rentetan sejarah mengenai orang Melayu dan Negara kita disampaikan oleh Y.A.Bhg Tun dengan begitu tertib dan tersusun, dicelah dengan pandangan kritis, berani dan sinis. Hamba kagum dengan kedalaman ilmu beliau, ketelitian dan ketajaman pemikiran beliau dan sikap berpandangan jauh beliau. Masih terbayang rekod-rekod dan dokumen-dokumen di Arkib Negara yang membuktikan fakta yang disampaikan oleh Tun. Tapi berapa ramaikah yang sedar dan betul-betul faham dan menghayati sejarah dan peristiwa-peristiwa dalam dokumen-dokumen ini? Berapa ramai yang peka, sedar dan insaf? Tepok dada tanya selera.

Hamba ucapkan tahniah kepada Y Bhg Dato' Seri (Dr) Hj Mohd Hilmi bin Hj Ismail yang telah dilantik menjadi Presiden GMP yang Pertama. Dato' Seri dan Ahli Jawatankuasa Penajanya telah bekerja keras untuk mempastikan GMP dilancarkan hari ini. Sekalong penghargaan.

Tujuan GMP memang murni, iaitu hendak menyatupadukan orang Melayu, khususnya Melayu Perak. Mudah-mudahan tercapai tujuannya. Tapi, tadi hamba rasa terasing, bukan kerana apa, tetapi kerana ramai yang hadir hamba tak kenal. Mungkin salah hamba, jarang balik ke Perak. Maklumlah, dah lebih 40 tahun hamba merantau! Yang hamba kenal semasa kecil dulupun dah tiada. Tapi, hamba tidak pernah lupa jasa negeri Perak kepada Hamba. Dari darjah Special Malay Class (SMC) hingga ke Tingkatan Lima hamba mendapat biasiswa diatas sokongan Kerajaan Perak kerana hamba dari keluarga miskin. Hamba dipilih sebagai pelajar khas Anak-anak Perak (miskin) untuk Tingkatan Enam di Sekolah Anderson. Dan yang paling hamba tak lupa, telah diberi biasiswa Kerajaan Perak semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Semuanya ini jasa Kerajaan Perak kepada hamba. Hamba tak lupa! Yang hamba terkilan, hamba tidak dapat menabur bakti di Perak, kerana pada masa itu tiada kekosongan jawatan dan hamba dilepaskan untuk bertugas dengan Kerajaan Persekutuan.

Tapi, hamba tak lupa dengan Perak. Pada tahun 2003, melalui Arkib Negara hamba telah menerbitkan Buku Tokoh-Tokoh Batu Gajah yang telah dilancarkan oleh DYYM Paduka Seri Sultan Perak. Sekurang-kurangnya hamba kenal orang Batu Gajah! Jadi hamba syorkan disini, GMP kenalilah orang Melayu Perak, terutama mereka yang telah berbakti kepada negeri Perak. Terbitkanlah Buku Tokoh-Tokoh Melayu Perak yang lengkap, supaya orang Perak, khususnya orang Melayu, tahu menghargai jasa-jasa orang yang telah berbakti kepada negeri Perak, tahu akan sejarah negeri dan tanah airnya sendiri, dan mengujudkan jatidiri yang kukuh dalam diri masing-masing !

Thursday, June 18, 2009

Harijadi Hamba

Hari ini 18 Jun, dan tak berapa jam lagi masuk 19 Jun, hari jadi hamba. Dah lebih setengah abad hamba ujud didunia. Syukur, Alhamdulillah, dengan limpah kurniaNya, hamba sihat walfiat, masih waras pemikiran dan kuat anggota badan. Berkat doa Mak dan Abah, Suami, dan anak-anak serta keluarga, hamba berjaya bekerja sehingga berpencen dan tamat kontrak. Apa yang hamba masih tercari-cari dan masih mengisi adalah pesanan Mak dan Abah supaya senantiasa 'Penuh Saku'. Terlalu dalam maksud mereka, amat susah hendak hamba capai. Walaupun lebih setengah abad umur hamba,masih tercicir yang ada dalam 'saku', masih 'tidak penuh' dan tidak mungkin 'penuh' isi dalam 'saku' hamba. Dunia terlalu besar nak diterokai, lautan telalu luas nak direnangi, ilmu terlalu dalam nak diselami. Tidak tahu bila hamba akan berjaya mengecapinya... yang hamba tahu, hamba akan terus berusaha, dan terus berkongsi bersama anak-cucu serta manusia yang mahu mengetahuinya sebelum 'isi' dalam 'saku' hamba akan terus tercicir dan hilang selama-lamanya.