Wednesday, August 26, 2009

WANITA

25 Ogos setiap tahun merupakan perayaan Hari Wanita di Negara kita. Setiap tahun wanita dihargai dan diingati diatas jasa-jasa mereka samada sebagai seorang ibu, isteri, kakak, adik, pekerja, guru, pemimpin, dan banyak lagi peranan yang dimainkan oleh mereka. Tanggungan yang dipikul oleh seorang wanita amat berat sekali. Setinggi mana pun kedudukannya, seorang wanita masih memikirkan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu, seorang isteri -- beliau tetap memikirkan sudahkah anak-anaknya makan; apakah hidangan yang perlu disediakan untuk si suami dan pelbagai lagi. Dipejabat pen yang dipegang, dirumah senduk yang dihayun! Seorang wanita itu memang versatile! Oleh itu memang wajar hari khas untuk wanita diujudkan.

Wanita-wanita seperti Aishah Ghani, Fatimah Hashim, Kontek Kamariah, Ibu Zain, Putih Mariah memang tidak asing lagi bagi kita. Sumbangan dan jasa mereka tidak dapat ditandingi. Malahan ramai lagi yang perlu kita ingati supaya nama-nama ini tidak akan hilang dalam lipatan sejarah. Ada badan-badan tertentu yang telah berusaha untuk mengumpul dan menerbitkan buku mengenai tokoh-tokoh wanita tanahair. Syabas kepada NCWO juga kepada Pertiwi.
Sayangnya, tokoh-tokoh ini merupakan tokoh diperingkat kebangsaan sahaja. Bagaimana dengan mereka yang merupakan tokoh dibelakang layar? Tokoh-tokoh yang hanya terkenal dalam bidang masing-masing? Tokoh-tokoh yang memegang jawatan tinggi di agensinya sahaja? Siapakah yang akan mengingati mereka?

Hamba cadangkan supaya badan-badan seperti Puspanita, Bakat, Bakti, dan banyak lagi badan-badan yang mewakili wanita samada di agensi kerajaan, politik, swasta, pertubuhan dsbnya, mengumpul maklumat mengenai tokoh wanita di agensi/ pertubuhan masing-masing dan terbitkan dalam bentuk buku untuk makluman orang ramai supaya terpahat dalam sejarah. Ingat puan-puan, kalau puan sendiri tak memulakan, siapa yang akan meneruskannya? Hamba pasti ada yang mahu menyumbang untuk menerbitkannya.

No comments:

Post a Comment