Monday, August 24, 2009

KEMERDEKAAN NEGARAKU MALAYSIA

Bulan Ogos merupakan bulan yang bersejarah untuk negara kita Malaysia. Bagi Hamba bulan ini membawa kenangan yang tidak dapat Hamba lupakan. Bulan Ogos, 1957 Hamba masih ingat, Mak Hamba dengan berbaju putih, berkain merah, berselendang putih sibuk kehulu-hilir di Pekan Batu Gajah, Perak membantu Kaum Ibu UMNO menyediakan segala persiapan untuk perayaan menyambut Hari Kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tanah airku yang kucintai.

Ketika itu Hamba baru Darjah 5 Sekolah Melayu; baru berumur 10 tahun. Tapi sudah faham apa erti kemerdekaan. Abah Hamba bekas Sgt Mejor dalam Pasukan Polis, yang telah masin dan kenal asam garam penjajahan, pengkhianatan Bintang 3, keganasan Jepun dan Komunis dan penyeksaan yang dialami oleh rakyat Tanah Melayu ketika itu, khususnya orang Melayu, yang dikhianati dan melarat dinegaranya sendiri. Walaupun jasa Abah Hamba terhadap negara, telah dianugerahkan dengan pelbagai Bintang oleh King George/ Queen Elizabeth, namun hatinya tetap meronta inginkan kebebasan untuk Negaranya, dan dirinya.

Sebagai Ketua Polis di Balai Polis Newtown, Ipoh, setiap pagi bila bendera Union Jack dinaikkan, hatinya senantiasa meronta-ronta marah dan berdoa semoga disuatu hari nanti bendera yang melambangkan kebebasan Tanah Melayu akan dikibarkan. Beliau berharap disuatu hari nanti anak bangsa Tanah Melayu ini akan memegang teraju Negara ini. Bukannya Inggeris tidak berusaha memajukan negara, tetapi penjajahan tetap penjajahan! Kebebasan bersuara tidak ada. Bagi Abah Hamba, nama Tunku Abdul Rahman Putra tidak lekang dari mulutnya, dan seperti rakyat Tanah Melayu pada masa itu, tidak ada orang lain yang dapat diharapkan untuk melepaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah, melainkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, UMNO dan Parti Perikatan.

Hamba masih ingat dalam perjalanan Tunku Abdul Rahman memaklumkan rakyat mengenai Kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku pernah singgah di Batu Gajah. Terbayang lagi bagaimana gembiranya orang Batu Gajah menerima dan mendengar ucapan Tunku. Mereka terasa bebas dari cengkaman penjajah!

Pada 31 Ogos, 1957 Hamba bersama kakak dan abang pergi ke Padang Sekolah Lelaki, Batu Gajah untuk menyaksikan penurunan bendera Union Jack dan terkibarnya Bendera baru Tanah Melayu yang Merdeka. Abah dan Emak telah berbaris bersama rakan-rakan yang lain. Begitu juga Abang yang sulong bersama kakak yang tengah. Mereka juga berbaris megah. Tak dapat Hamba bayangkan berapa gembira dan megahnya Hamba bila lagu NEGARAKU dan Bendera baru Tanah Melayu dikibarkan.

Kini Bendera tersebut telah dinamakan JALUR GEMILANG.

Tetapi ramai yang telah terlupa atau buat-buat lupa akan pengorbanan orang-orang yang telah berusaha untuk melepaskan negara ini dari cekaman Penjajah.

No comments:

Post a Comment