Saturday, September 12, 2009

RAMADHAN

50 tahun yang lalu, Hamba masih teringat sewaktu bulan Ramadhan, setiap malam jam 4.30 pagi Emak selalu mengejutkan Hamba untuk makan sahur. Selalunya Hambalah yang terakhir dikejutkan ( mungkin anak bongsu) kerana makanan dah siap disediakan. Kakak dah lama bangun, tolong Emak di dapur. Abang-abang, kakak-kakak yg lain, serta Abah dah dikejutkan dulu.

Hamba masih ingat dengan lampu minyak tanah ditangan, Hamba pergi ke bilik air diluar rumah di temani oleh kakak. Dalam keadaan gelap, Hamba terus membasuh muka dan mulut dari air takongan tong 'dram' yang diambil pada siang tadi dari paip air ditepi jalan. Itulah kerja Hamba setiap hari, 'menggalah' 2 tin besar air untuk minuman. Untuk mandi, kami pergi ke 'pancor', iaitu air yang keluar dari tanah lajunya seperti air terjun. Sejuk, bersih, maklumlah 'air mineral'.

Emak selalunya menyediakan makanan yang begitu 'simple' sahaja. Simple bukan kerana kami berdiet, tetapi dengan kewangan yang terhad, Emak terpaksa berjimat untuk mempastikan kami berlapan beranak ada makanan setiap hari. Selalunya mesti ada telur masin, pencetus selera. Makanan yang lain kebanyakan lebihan berbuka puasa, yang telah dipanaskan. Tidak lebih dari 3 jenis sahaja!! Kalau ada ayam goreng pun, satu peha ayam berkongsi 3 orang. Itu merupakan satu kenikmatan bagi kami.

Suasana malam yang dingin selalunya menjadi riuh rendah dengan suara gurauan, ketawa dan hilaian kami. Hamba masih terigau-igau bila mengenangkan ketika itu. Abah dan Emak hanya tersenyum melihat telatah kami, sambil mencelah menyuruh kami makan dengan sopan. Lauk yang tidak seberapa tidak menghalang selera kami dan ketawa kami. Itulah satu-satu masa yang amat gembira dan susah hendak Hamba lupakan.

Abang Hamba yang kedua akan terus ke anjung rumah untuk menyiapkan 'bintang' besar yang akan digantungkan di luar tingkap hadapan rumah. Begitu teliti pembuatannya, dengan berwarna warni kertas yang digunakan. Rumah Hamba di malam Raya akan kelihatan berseri-seri dengan kerlipan 'bintang' menggunakan lampu minyak tanah. Masih ingat pesanan Abah 'sebelum tidur lampu minyak mesti dipadamkan , takut terbakar' !!!

No comments:

Post a Comment