Saturday, September 5, 2009

PERISTIWA SEJARAH TANAH AIR: LUPA ATAU TIDAK AMBIL BERAT????

Bulan Ogos dan September merupakan 2 bulan yang amat bersejarah untuk Negara Malaysia.

Ogos atau August dalam Bahasa Inggeris bermaksud bulan ke 8 dalam satu-satu tahun. August juga bermaksud respected/ influential( unggul /mulia). Secara umum boleh ditafsirkan bulan Ogos sebagai bulan yang dianggap sebagai unggul. Apatah lagi 52 tahun yang lalu, Negara kita, yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah ketika itu, mencapai kemerdekaan. Tanggal 31 Ogos, 1957, membawakan kebebasan, kemerdekaan, kesediaan rakyat Tanah Melayu untuk berdikari, berfikir sendiri dan bebas untuk membangunkan Negara tercinta. Pengorbanan rakyatnya, khususnya dari Kaum Melayu, dari segi nyawa dan tenaga, harta dan wang, usaha dan pemikiran melalui politik tanahair, pentadbiran, ketenteraan, polis dan keselamatan, penulisan dan lain-lain, tidak dapat dibalas dan dinilaikan.

September pula merupakan bulan ujudnya Negara Malaysia kita iaitu pada 16 September 1963. Tanggal ini mencantumkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (kemudiannya keluar dari gagasan ini), menjadi sebuah Negara yang lebih besar, iaitu Malaysia. Kini Malaysia tercatat di peta dunia sejak 1963, dan telah membangun dan maju dengan pesatnya. Rakyat berbilang Kaum hidup aman damai dengan sikap hormat menghormati serta toleransi diantara satu dengan lain .

Hamba terkejut juga semasa menjalankan tugas dahulu apabila ditanya kepada Guru-guru sandaran terlatih yang hendak dilantik kejawatan tetap kerajaan, mereka tidak tahu mengapa Malaysia ditubuhkan. Apa ertinya penubuhan Malaysia bagi Sabah dan Sarawak? Apa maksud Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957? Ramai mengatakan 31 Ogos 1957 adalah tarikh kemerdekaan untuk Sabah dan Sarawak juga. Hamba katakan pada 1957, Sabah dan Sarawak belum merdeka. Belum pun lagi menyertai Malaysia. Bila pula tarikh Sabah dan Sarawak merdeka? Bertambah keliru mereka!! Dimana salahnya disini? Adakah pendidikan kita di sekolah tidak menyatakan dan menjelaskan dengan tepat maksud tarikh-tarikh tersebut. Ataupun Kerajaan di dalam mengingati peristiwa sejarah tanah air, lupa menghargainya ataupun tidak menjelaskan dengan betul maksud perayaan tersebut, sehinggakan rakyat keliru dan salah tanggap peristiwa sejarah tanah air kita.

Hamba maklum dan Hamba rasa ada yang maklum, mengapa 31 Ogos setiap tahun diangkat sebagai Tarikh Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia, walapun pada tahun 1957 Sabah dan Sarawak belum menyertai Malaysia. Kerajaan perlu menentukan 1 tarikh yang sesuai untuk Ulangtahun Kemerdekaan, dan 31 Ogos adalah amat sesuai kerana ia merupakan tarikh Persekutuan Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan. Ia merupakan 1 peristiwa yang amat bersejarah, dan yang terawal. Memang Tunku Abdul Rahman mengharapkan 31 Ogos 1963 diisytiharkan penubuhan Malaysia, tetapi oleh kerana beberapa hal yang tidak dapat dielakkan terpaksa diisytiharkan pada 16 September.

Tetapi mengapa keadaannya begini sekarang ini? Ramai yang keliru. Adakah saja-saja kita nak lupakan sejarah atau kita tak ambil berat, atau nak kelirukan mereka? Bukankah 31 Ogos dan 16 September adalah tarikh-tarikh penting untuk Negara dan rakyat Malaysia. Hamba harap pihak tertentu akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengingati juga 16 September seperti kita mengingati 31 Ogos supaya rakyat tidak keliru. Janganlah kita lupakan sejarah atau tak ambil berat, sebab kita 1 Malaysia!!!

( Nota: Artikel ini telah keluar dalam Utusan Malaysia, ruangan Forum pada 18 Sept, 2009)

No comments:

Post a Comment