Tuesday, July 21, 2009

SELAMAT JALAN KUCINGKU

Kucing merupakan binatang kesayangan Hamba sekeluarga. Orang kata membawa rezeki. Ada satu ketika Hamba mempunyai lebih 20 ekor kucing, semuanya jenis biasa, tinggal di luar rumah - makan 2 kali sehari ( friskies dan nasi bergaul ikan rebus), tidur pun di luar rumah. Mereka dibenarkan masuk ke dapur semasa makanan mereka disediakan. Mereka seolah-olah maklum mengapa mereka tidak dibenarkan masuk dan tidak pula mendesak hendak masuk. Bila Hamba, suami atau anak-anak balik kerja, banyak yang menunggu kami sehinggakan susah untuk memasukkan kereta di rumah. Selagi tidak ditegur atau disentuh selagi itu mereka tidak berganjak dari tempat duduk mereka. Sampaikan ada yang merajuk, lari bila nak dipegang!

Nama mereka bermacam-macam - rekaan kami sekeluarga. Itam, Putih, Ning, Soid, Khai, Boy, Girl, Cassandra, Comel, Hero, One-Eyed Bear, Nikki, Sylvester, dan banyak lagi hinggakan dah lupa. Tapi kini, tinggal 4 ekor saja... sedih.

Dua hari yang lepas Nikki mati. Dia sakit telinga, ada 2 kali kami bawa ke klinik untuk ubatkan telinganya. Nampak baik sikit. 4 hari yg lepas, dia tak balik kerumah walaupun dipanggil semasa waktu makan. Tiba-tiba 2 hari yang lepas kira-kira jam 5 petang suami Hamba jumpa dia bersembunyi dibawah meja dalam keadaan tenat. Terus anak Hamba Yanti, Yazmin, Hazlan, Faizal dan Raheez bawa dia ke klinik haiwan, tetapi semuanya telah tutup. Akhirnya mereka bawa Nikki ke Hospital Veterinar, Animal Medical Centre Sdn Bhd di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Nikki dimasukkan 'drip', dicuci telinganya dan kata doktor akan diambil sample darahnya sebelum di'operate' pagi esoknya. Tapi doktor mengatakan keadaannya agak tenat. Tinggallah dia dihospital haiwan.
Esoknya doktor talipon Yanti menyatakan Nikki telah mati pada sebelah malam. Teresak-esak Yanti menalipon kami semua. Termenung dan menangis kami. Hafiz, anak Hamba seorang lagi terus tergamam mendengar berita. Hospital menunggu kedatangan Yanti sebelum bangkai Nikki dibakar untuk mengelakkan jangkitan kepada binatang lain. Mereka begitu prihatin dan turut bersimpati dan membiarkan Yanti melihat Nikki dalam 5 minit. Mereka memberi tissue untuk Yanti mengelap air matanya. Belum pernah Hamba melihat dan mendengar betapa peka, prihatin, dan penyayangnya petugas-petugas hospital/klinik seperti yang bertugas di hospital Animal Medical Centre. Terima kasih. Nikki mati di Hospital 5 star!

'One-Eyed Bear' yang memang bermata satu setelah dioperasi kerana kerosakan mata, mati bulan lepas. Kucing ini adalah yang paling hamba sayang. Manja, cantik tapi digigit oleh anjing neighbour sebelah. Sempat dioperate, tetapi bila balik dalam 7 hari selepas itu dia mati.
Kalau dikira wang membayar rawatan mereka sahaja Hamba rasa hampir 5, 6 ribu ringgit.
Kerana sayang, kami tidak ambil kira asalkan mereka sihat. Kami tidak menyesal, tapi kami rindukan kemanjaan mereka. Selamat Jalan Kucingku!

No comments:

Post a Comment