Friday, December 31, 2010

MUHASABAH DIRI

Hari ini hari terakhir untuk tahun 2010. Jumaat, 31 Disember,2010. Esok, tahun baru ...tahun 2011.

Hamba bersyukur kepadaMu, untuk tahun 2010, Hamba masih kuat fizikal dan mental, bersyukur kerana mempunyai keluarga yang bahagia, suami yang sihat, senantiasa sabar, membimbing, dan melindungi keluarga; anak-anak dan menantu yang patuh, sopan dan berjaya, serta dilimpahi rezeki. Hamba mohon kepadaMu, untuk tahun 2011, kami sekeluarga akan terus sihat, dipanjangkan umur, bahagia, dimurahkan rezeki, beriman dan senantiasa mengingatiMu, InsyaAllah.

Untuk Negara Malaysia, Hamba mohon semoga aman, terus maju, hapuskanlah perasaan kebencian diantara orang Melayu dan bersatupadulah rakyat pelbagai kaum di Negara ini.

Selamat berakhir Tahun 2010....

Thursday, December 30, 2010

KENANGAN TAHUN 2000-2010

Dua hari lagi menjelang tahun baru ..Tahun 2011.

Banyak yang Hamba kenangkan... Telah habis 1 dekad dalam Abad ke 21 ini. ...dari tahun 2000 sehingga 2010...

Syukur Hamba pada awal tahun 2000 Hamba bersama Suami, Hj Yahaya Salim, telah menunaikan Haji... berada di tanah suci selama 26 hari, dengan mengikuti Rombongan Am Kerajaan. Menteri Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), YB Dato' Hamid Osman dan Isteri turut serta. Bersama juga Ketua Menteri Sabah YAB Dato Osu Sukam dan Isteri, Tan Sri Ahmad Sarji dan Isteri, seorang Timbalan Menteri dari Sabah, Ketua Pengarah Jakim Dato Zainal Abidin dan Isteri, dan beberapa orang kenamaan lagi. Hamba memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana menjadi tetamu Nya pada awal tahun 2000...

Tahun 2002, amat barmakna pada Hamba. Pertama, Hamba dapat meyakinkan pihak International Council On Archives (ICA) untuk negara Malaysia menjadi Tuan Rumah Kongress Arkib Antarabangsa pada tahun 2008.. Pertama sekali diadakan di Negara di Asia Tenggara.

Kedua, Hamba bersama YB Menteri Luar Negeri, Dato Syed Hamid, Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail, YAB Dato Chong Kok Kiat, Ketua Menteri Sabah, Ketua Setiausaha Kementerian luar Negara, Duta Malaysia di Netherlands, Ketua Pengarah Pemetaan dan ramai lagi telah menghadiri penghakiman Pulau Sipadan dan Ligitan di International Court of Justice (ICJ) di Den Hague, Netherlands. Syukur, pulau tersebut kepunyaan Malaysia berasaskan rekod yang tersimpan di Arkib Negara.... Satu kejayaan kepada Malaysia... tetapi, sayangnya tidak ada satu penghargaan yang telah diterima dari pihak Kerajaan/ Kementerian Luar Negara/ Kerajaan Sabah disampaikan kepada Hamba dan team Hamba dari Arkib Negara...Itulah adatnya... kerana... 'Saya Yang Menurut Perintah'....

Tahun 2003, awal Jun, Buku 'Tokoh-Tokoh Batu Gajah' telah dilancarkan oleh Paduka Seri Sultan Perak, DYMM Sultan Azlan Shah. Buku hasil usaha Hamba bersama beberapa orang Pegawai Hamba, seperti Prabhakaran Nair, adalah 'contribution' Hamba yang terakhir sebagai Ketua Pengarah Arkib Negara untuk Sultan Perak, Batu Gajah dan Negeri Perak, sebelum Hamba bersara.

18 Jun2003, merupakan hari terakhir Hamba bertugas sebagai Ketua Pengarah dan Kakitangan Kerajaan...Hamba berpencen setelah bertugas selama lebih 31 tahun (2Februari 1972- 18 Jun 2003).

Bulan Ogos, 2003 Hamba dilantik kembali sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk selama 5 tahun. Dimasa inilah Hamba berpeluang untuk melihat seluruh pelusuk tanahair.... Sungai Tembeling, Kapit, Limbang, dll.....

Tahun 2004 bercuti di Indonesia dan New Zealand.

Tahun 2005, anak sulung Hamba, Yanti berkahwin dengan Taraque Faisal Talib.

Tahun 2006 Hamba bercuti di London bersama kakak Hamba Hasmah Zon.

Tahun 2008, anak kedua Hamba, Yazmin berkahwin dengan Mohd Firaheez Zuhdi.

Akhir Tahun 2008 Hamba tamat kontrak dengan SPP.

Tahun 2009, Hamba menjadi FreeLance Trainer dan menyertai MLM Vemma.

Januari 2010 Hamba ke Las Vegas untuk Vemma Convention.

Disember 2010 Hamba ke Jakarta untuk Vemma.

Selama 10 tahun ini Hamba kehilangan:
Abang Hamba Allahyarham Mohd Zain Zon (2010)
Abang Hamba Zainal Abidin
Abang Ipar Ustaz Razak
Ayah Mertua Salim Yaacub
Ibu Mertua Saayah Saad
Kakak Ipar Siti Hajar
Abang Ipar Latif
Makcik, adik saudara dll...Semoga Roh mereka dirahmati Allah swt.

Tahun 2000-2010, tahun-tahun yang begitu bermakna pada Hamba!!!!! Syukur kepadaMu ya Tuhan ku...

BENGAWAN SOLO

Teringat Hamba semasa kecil, Abah Hamba selalu bermain biola di waktu malam mendendangkan lagu Bengawan Solo. Sayu dan sedih Hamba mendengarnya...mendayu-dayu di malam sepi...
Lagu ini juga merupakan lagu pertama yang Hamba mainkan apabila mula-mula belajar guitar..

Masih ingat ketika Hamba di Tingkatan 1, kelas Hamba terpaksa menarikan tarian Bengawan Solo...Dengan tangan yang terketar-ketar Hamba memetik guitar, dengan janggal bunyinya, memainkan lagu tersebut...Rasa nak pitam Hamba ketika itu!!!!! Dan kalau sekarang ini disuruh memetik guitar, entahlah..dah lama Hamba tinggalkan guitar.

Bengawan Solo mengingatkan Hamba Negara Indonesia. Baru 10 hari Hamba pulang dari Jakarta atas urusan Vemma. Kota Jakarta yang begitu sibuk, begitu ramai orangnya, selalu macet (jam), berhabuk dan dipenuhi dengan bangunan-bangunan yang tinggi, memang sedang pesat membangun. Ketenangan dan kesepian lagu Bengawan Solo, tidak terbayang di Jakarta -kota metropolitan. Ingin Hamba melihat Sungai Solo diwaktu malam -- adakah tenang, nyaman seperti yang didendangkan?


Indonesia..... mengingatkan Hamba Pertandingan Akhir Bola Sepak Piala AFF Suzuki, di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Syabas Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia...menjuarai Piala tersebut... Musim Kemarau telah berakhir... Teruskan kegemilangan Bola Sepak Negara kita untuk tahun-tahun mendatang. Ketenangan Bengawan Solo tinggal menjadi kenangan...Sungai Pahang, Sungai Kelang, Sungai Perak, Sungai Muar dan sungai-sungai yang lain mula menunjukkan taring. Ikan toman, ikan pirahana.. ikan,ikan,ikan mula menbisa...